Dua lelaki serang dua anak-beranak di Siburan 23 Julai lalu didenda RM21,000

PADAWAN: Dua lelaki yang ditahan kerana menyerang dua anak-beranak di premis mangsa di Duranda Emas, Siburan Jumaat lalu (23 Julai) didenda sebanyak RM21,000 oleh Mahkamah Majistret.

Timbalan Ketua Polis Daerah Deputi Superintendan Lim Jaw Shyong berkata, kedua-dua suspek berusia 20 dan 29 tahun itu mengaku bersalah terhadap pertuduhan kes khianat serta mendatangkan kecederaan itu semalam.

Menurutnya kedua-dua tertuduh masing-masing disiasat di bawah Seksyen 324 dan 427 Kanun Keseksaan.

“Suspek pertama telah dikenakan denda sebamyak RM18,000 atas dua pertuduhan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana telah mencederakan mangsa dan anaknya dan satu pertuduhan di bawah Seksyen 427 kerana telah merosakkan kedai pengadu.

“Suspek kedua pula dikenakan denda RM3,000 atas dua pertuduhan di bawah kesalahan sama iaitu dua di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan satu di bawah Seksyen 427,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelasnya, kedua-dua suspek telah pun membayar semua denda tersebut.

Katanya, sebutan semula kes bagsimanapun telah ditetapkan pada 14 Semptember ini untuk Laporan Sosial dari Jabatan Kebajikan memandangkan tertuduh masih bawah umur.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak