Enam pemain, pegawai Kuching City FC dijangkiti Covid-19

KUCHING: Tiga pemain dan tiga pegawai Kuching City FC disahkan positif Covid-19 sebelum perlawanan menentang Terengganu FC II pada 24 Julai lepas.

Ketua Pegawai Eksekutif KCFC, Iswandy Ali Hassan berkata setakat ini, semua mereka dalam keadaan baik dan tiada yang mengalami gejala teruk.

“Saya amat bersyukur kerana pasukan telah lengkap dos kedua vaksin Covid-19.

“Ini dapat mengurangkan kebimbangan kita daripada terkena gejala yang teruk,” katanya semasa dihubungi Suara Sarawak, hari ini.

Tambah beliau, kemungkinan pemain serta pegawai lain akan menjalani kuarantin wajib selama 14 hari di rumah masing-masing.

Iswandy berkata latihan akan diteruskan secara dalam talian bagi menggekalkan kecergasan fizikal pemain.

Selain itu, beliau berkata perlawanan menentang Sarawak United FC yang dijadual pada Sabtu depan (31 Julai) juga belum diputuskan.

“Kita menunggu keputusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sama ada boleh meneruskan perlawanan atau ditangguhkan dahulu,” jelasnya.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak