Hubungi pusat khidmat, pemimpin untuk bantuan bekalan makanan

BINTULU: Orang ramai disarankan menggunakan kaedah lebih bersesuaian untuk memaklumkan bekalan makanan yang terputus berbanding mengibarkan bendera putih di hadapan rumah.

Menteri di Jabatan Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman) Datuk Talib Zulpilip berkata, penduduk yang terjejas boleh menghubungi pelbagai pihak untuk mendapatkan bantuan kerana terdapat banyak saluran seperti agensi, pemimpin  termasuk Pusat Khidmat Masyarakat Dun Jepak.

“Masalah kesempitan hidup yang dialami juga boleh diselesaikan tanpa memerlukan kempen bendera putih jika semua pihak termasuk jiran tetangga berganding bahu membantu antara satu sama lain,” katanya.

Talib berkata demikian semasa menyerahkan bakul makanan sumbangan Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) kepada golongan asnaf di Masjid Darul Makmur Kampung Jepak, di sini.

Ujar Adun Jepak itu, Kerajaan Sarawak sentiasa bersedia membantu golongan yang terjejas sejak permulaaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terutama dalam menyalurkan bantuan keperluan asas.

Dalam pada itu, Talib turut menggesa mereka yang belum  menerima suntikan vaksin Covid-19 untuk mendaftar melalui MySejahtera atau Pejabat Daerah atau fasiliti kesihatan berdekatan.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak