JBALB Betong bekal air bersih kepada penduduk terjejas

BELADIN: Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Bahagian Betong akan terus menyalurkan bekalan air bersih kepada penduduk di sini sementara menunggu kerja baik pulih saluran paip merentangi Batang Saribas siap.

JBALB Sarawak dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya akan menghantar bekalan menggunakan lori tangki air sebagai alternatif membekalkan air.

“Ini kerana penduduk akan terus mengalami gangguan bekalan air dan tekanan rendah selepas kedua-dua paip jenis HDPE bersaiz 355 milimeter merentangi Batang Saribas terputus akibat arus kuat semalam masih belum siap dibaiki.

“Kerja baik pulih terpaksa ditangguhkan dan akan disambung esok kerana kenaikan paras air,” kata kenyataan tersebut, hari ini.

Jelasnya, penduduk yang ingin memohon penghantaran bekalan air boleh menghubungi Pusat Panggilan JBALB Sarawak di talian 082-262211.

Tambahnya, penduduk kini bergantung kepada bekalan air terawat dari Loji Rawatan Air Beladin yang berkapasiti 2.65 juta liter sehari, berbanding sebelum ini turut ditampung oleh Loji Rawatan Air Kaki Wong.

Segala perkembangan terkini akan dimaklumkan melalui platform media sosial JBALB Sarawak.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak