Kampung Kendaie, Lundu kluster baharu

KUCHING: Satu lagi kluster baharu Covid-19 diisytiharkan hari ini iaitu Kluster Kampung Kendaie, Lundu.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, kluster itu melibatkan penduduk di Kampung Kendaie, Lundu.

“Jangkitan merebak melalui aktiviti upacara pengebumian dan sembahyang mendiang yang berlangsung pada 30 Jun hingga 6 Julai lalu.

“Seramai 46 individu telah disaring iaitu 23 individu dikesan positif Covid-19 termasuk kes indeks yang merangkumi 22 warganegara dan seorang bukan warganegara serta 25 individu lain didapati negatif,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Sementara itu, JPBN berkata Kluster Sungai Penyerai, Tatau ditamatkan hari ini susulan tiada kes baharu dikesan atau dilaporkan dalam tempoh 28 hari yang lalu.

JPBN menambah, sebanyak 100 kluster yang masih aktif di Sarawak iaitu lapan kluster mempunyai penambahan kes baharu, manakala 92 kluster tiada penambahan kes.

 

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak