Kuching City mesti buktikan esok

BARISAN pemain Kuching City FC (KCFC) diminta membuktikan keupayaan apabila turun menentang Terengganu FC II di Stadium Negeri Petra Jaya Kuching Sabtu ini.

Walaupun hanya tujuh hari membuat persiapan rapi (latihan penuh) ia bukan alasan untuk mudah ‘mengangkat bendera putih’. Demikian pengakuan penolong jurulatih KCFC, Sulaiman Hussin.

“Kami sedar, persiapan kami kali ini terganggu, dan hanya boleh berlatih secara penuh pada 17 Julai lalu… hanya tujuh hari sebelum aksi Sabtu ini.

“Namun ia bukan alasan. Para pemain mesti membuktikan, lebih-lebih lagi beraksi di gelanggang sendiri. Jangan biarkan pasukan lawan ‘menguasai’ tempat kita,” tegas Sulaiman.

Menurut bekas jurulatih skuad UKM itu, para pemain kelihatan teruja dan ghairah, maklumlah setelah begitu lama tidak berlatih penuh.

“Ia merupakan petanda yang bagus, dan saya percaya semangat pemain lebih membara, terutama pemain tempatan. “Beraksi di gelanggang sendiri akan memberi kelebihan kepada kami,” ujar Sulaiman. Menurut beliau, apa yang penting ialah, kebijaksanaan pemain menyempurnakan peluang yang terhidang.

“Terdapat beberapa perlawanan pusingan pertama yang menyaksikan kami menguasai permainan, dan mencipta beberapa peluang… tetapi akhirnya pasukan lawan muncul pemenang,” ujarnya.

“Oleh itu, kami mesti memperbaiki keadaan tersebut, dan saya percaya kami mampu memperbaiki kedudukan sepanjang pusingan kedua nanti,” katanya lagi. Semua 10 aksi KCFC sepanjang pusingan kedua ini akan berlangsung di Stadium Negeri.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak