Kutipan Dana Sokongan Antipandemik Sarawak berjaya capai sasaran 10,000 penderma

KUCHING: Kutipan Dana Sokongan Antipandemik Sarawak yang dilancarkan oleh Persekutuan Persatuan Cina Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian telah berjaya mencapai sasaran 10,000 penderma.

Sejak dilancarkan enam minggu lalu, kutipan dana yang diketuai oleh Naib Presidennya Kuek Eng Mong itu berjaya mendapatkan sumbangan berjumlah RM408,900.

Menurut Presidennya Datuk Richard Wee, sebanyak 9,227 orang daripada keseluruhan 10,029 penderma telah berjanji untuk memberi sumbangan kepada persekutuan.

“Manakala 802 penyumbang lagi belum memberikan sumbangan dan kita berharap bantuan tersebut dapat dikumpulkan pada hujung minggu hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis ringkas penyerahan kutipan dana oleh Pengurusan Lembaga Sekolah Rendah Chung Hua Kuching, di sini, hari ini.

Kata Wee, beliau percaya lebih ramai individu, organisasi mahupun entiti swasta akan meneruskan kutipan sumbangan dan memberikan senarai nama penderma kepada persekutuan serta yakin jumlah penderma turut akan meningkat.

Berikutan pihaknya telah mencapai sasaran 10,000 penderma dan selesai sebulan lebih awal daripada sasaran asal, Wee berkata kempen tersebut akan berakhir pada 31 Julai ini.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak