Lagi banglo dijadikan sebagai pusat judi haram, empat lelaki ditahan

KUCHING: Polis menyerbu sebuah banglo mewah tiga tingkat di lorong Hup Lee yang menjadi pusat panggilan perjudian dalam talian (JOL) sekitar jam 5.40 petang semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Ahsmon Bajah hasil serbuan berjaya menahan empat operator sindiket terbabit yang terdiri daripada lelaki warga tempatan masing-masing berusia 23 hingga 24 tahun.

Menurut beliau, serbuan Ops Dadu tersebut merupakan hasil maklumat risikan yang dilakukan IPD Kuching sebelum ini.

“Keempat-empat suspek mengaku menjadi operator pengendalian JOL itu semenjak dua bulan yang lalu dengan gaji RM1500 sebulan serta tawaran bonus berdasarkan peratusan keuntungan yang diperolehi sindiket.

“Pusat beroperasi 24 jam itu didapati mendapat keuntungan kasar sebanyak RM1,000 sehari berdasarkan semakan rekod transaksi pengoperasian sindiket semenjak dua bulan lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

RAMPAS…Antara barangan kes yang ditemui di dalam banglo terbabit

Tambahnya turut dirampas barangan kes termasuk dua unit komputer riba, seunit monitor komputer, satu unit pemprosesan komputer, tiga buah telefon bimbit, router, modem dan lain-lain peralatan untuk menjalanka sindiket terbabit.

Dedahnya pengoperasian itu dijalankan dengan membuat panggilan kepada pelanggan di samping menggunakan aplikasi media sosial seperti Whatapp, Facebook, Telegram Wechat untuk mempromosikan JOL.

Jelas beliau, pihak polis kini dalam usaha untuk mengesan pemilik sebenar banglo tersebut untuk siasatan lanjut kes.

Ujarnya kes disiasat di bawah Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953.

Jika sabit kesalahan suspek boleh dihukum denda tidak melebihi RM5,000 serta penjara tidak melebihi tiga tahun.

Kesemua suspek direman di mahkamah Kuching hari ini.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak