Lebih setengah juta bina parit di Kampung Santubong

KUCHING: Kerajaan negeri menerusi Projek Rakyat telah membelanjakan sejumlah RM504,000 untuk membina sistem perparitan sepanjang 391 meter bagi mengatasi masalah air bertakung di Kampung Santubong.

Air bertakung di kampung berkenaan merupakan isu yang sentiasa menghantui penduduk setiap kali musim hujan lebat dan juga musim air pasang besar.

Air parit gagal disalirkan dengan sempurna di kampung itu disebabkan oleh tembok konkrit yang dibina sebelum ini bagi menghalang hakisan yang agak serius di kawasan tepi pantai kampung Santubong.

Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam dan DBKU) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, tujuan pembinaan parit sepanjang 391 meter ini adalah untuk mengatasi masalah air bertakung di sebelah dalam benteng yang sering membelenggu penduduk.

“Selain daripada itu, kita juga membina parit sampingan sepanjang 41 meter serta penutup parit untuk kemudahan masyarakat kampung,” katanya dalam Majlis Penyerahan Projek Rakyat, di sini hari ini.

Suara Sarawak