Lelaki samun warga emas diberkas

KUCHING: Seorang lelaki diberkas selepas kurang daripada 48 jam menyamun warga emas berusia 59 tahun di Jalan Tupong, di sini.

Suspek yang bermotosikal dipercayai menyamun mangsa sekitar jam 1.40 petang Jumaat lalu, menyebabkan mangsa mengalami kerugian sebanyak RM13,000.

Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata suspek, 23, berjaya ditangkap oleh anggota Bahagian Siasatan Jenayah Kuching di sebuah rumah taman perumahan lorong Menggris, kira-kira jam 10.30 malam semalam.

“Hasil soal siasat telah membawa kepada rampasan barang-barang kes seperti pakaian, telefon bimbit, wang tunai, topi keledar serta motosikal yang digunakan oleh suspek semasa melakukan jenayah samun tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata semakan rekod jenayah turut mendapati suspek mempunyai sebanyak empat rekod jenayah berkaitan kes tipu di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Ahsmon berkata suspek kini direman tujuh hari untuk siasatan di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 14 tahun dan didenda atau sebat.

Suara Sarawak