Lima lelaki didenda bermain badminton: Badminton tidak dibenarkan dalam SOP 3.0 Covid-19

KUCHING: Lima lelaki dikompaun RM18,000 selepas ditangkap bermain badminton di dalam dewan Badminton Hero Court Lorong Foochow, semalam.

Kesemua individu terbabit didapati sedang bermain badminton sekitar jam 7.45 malam sebelum dewan itu diserbu Pasukan Khas pemerkasaan pematuhan Covid-19 dari Balai Polis Tabuan Jaya.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Ahsmon Bajah, penjaga premis yang merupakan salah seorang daripada lima individu terbabit merupakan penganjur dan penjaga premis berkenaan.

“Akibatnya, penganjur dikenakan kompaun sebanyak RM10,000 di bawah kesalahan peraturan 17(2).

“Manakala empat individu lain masing-masing dikenakan kompaun RM2,000 di bawah kesalahan peraturan 17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit(PPPPB) Pelan Pemulihan Negara 2021,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas beliau, permainan sukan badminton antara aktiviti yang belum dibenarkan lagi semasa tempoh Prosedur Operasi Standard (SOP) 3.0.

Justeru katanya, pihak polis bersama rakan agensi lain akan terus merangka strategi penguatkuasaan bagi membantu kerajaan menjayakan peralihan fasa yang telah ditetapkan.

Suara Sarawak