Makan di kedai atau bungkus?

KELONGGARAN yang diberikan oleh kerajaan untuk makan di dalam kedai atau “dine-in” sudah pasti mengundang perasaan yang bercampur baur bagi setiap orang.

Walaupun kelonggaran ini memberi kelegaan dan membuka kembali pintu rezeki buat peniaga premis makanan, malah dapat melonjakkan kembali sektor ekonomi, namun dari segi keselamatan, adakah ia benar-benar selamat untuk pelanggan duduk di dalam kedai makan?

Mungkin restoran yang menjadi kegemaran orang ramai sekarang dibuka untuk perniagaan dan ramai orang sudah memikirkan rancangan untuk pergi, tetapi masih ada individu merasa tidak yakin untuk makan di dalam kedai semasa wabak masih menular.

Walaupun kerajaan telah membuat prosedur tempat duduk yang dipisahkan satu meter, ramai orang mungkin masih tertanya-tanya adakah tempat duduk ini selamat? Malah, ramai yang mempersoal adakah perlu bagi mereka makan di dalam restoran? Ataupun hanya bungkus dan makan di rumah?

Baru-baru ini, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak dan Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak memutuskan untuk membenarkan pelanggan makan di dalam premis makanan bermula 16 Julai lalu. Keputusan itu dibuat selepas pihaknya mengemaskini prosedur operasi standard (SOP) Kawalan Pergerakan bagi Fasa Kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Namun pada masa yang sama, Sarawak juga telah mengesan terdapat penularan wabak baharu yang lebih berbahaya iaitu kes varian Delta. Varian yang memiliki nama lain iaitu B.1.617.2 sewaktu pertama kali dikesan pada akhir tahun 2020 ialah di India dan selepas ia dikesan, varian ini menjadi penyebab gelombang jangkitan Covid-19 di India.

Kadar penularan varian Alpha pada asalnya adalah tinggi, boleh mencecah 90 peratus lebih menular berbanding varian asal virus SARSCoV-2. Namun, varian Delta jauh lebih pantas menular, berbanding Alpha. Memetik laporan jurnal kesihatan, kadar penularan varian Delta jika dibandingkan varian Alpha telah meningkat sekitar 30 peratus hingga 100 peratus, malah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengeluarkan amaran varian Delta yang cepat merebak dan sentiasa bermutasi mengakibatkan dunia kini dalam bahaya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan, varian baharu Delta boleh merebak dalam masa 15 saat. Justeru, tidak dinafikan kes baharu melibatkan varian Delta di bahagian selatan Sarawak telah mencetuskan kebimbangan kepada orang awam.

Jarak sosial dan cecair pembasmi kuman tidak menghilangkan semua risiko. Sekiranya seseorang batuk, mereka boleh mengeluarkan virus. Orang ramai yang tidak memakai pelitup muka semasa makan, mempunyai risiko yang lebih tinggi di restoran.

Selain itu, bagi penulis, memang tidak salah untuk makan di dalam premis makanan, asalkan kita mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh kerajaan dan sebaiknya jaga penjarakan fizikal. Jika kita ambil contoh situasi sesetengah individu, ramai yang memilih untuk makan di luar kerana bagi mereka ia menjimatkan masa untuk kembali ke pejabat, melakukan kerja atau sebagainya.

Contohnya seperti penghantar barangan pukal, penulis pernah melihat mereka tapau atau bungkus, dan makan tengah hari di dalam lori kontena atau di tempat pemandu sebelum menyambung kerja mereka. Bagi yang berkeluarga pula, ia juga sudah pasti meringankan beban mereka untuk cuti daripada memasak dan membasuh pinggan di rumah setelah lama memasak sepanjang PKP dilaksanakan.

Namun, ada juga yang tidak berani untuk mengambil risiko makan di dalam kedai kerana risau akan wabak baharu yang semakin mengganas. Bagi yang takut untuk keluar, mereka tidak perlu khuatir kerana terdapat juga khidmat menghantar makanan hingga ke pintu rumah bagi mereka yang tidak mahu keluar membeli makanan yang disediakan oleh FoodPanda mahupun Grab.

Bukan sahaja makanan, malah barangan keperluan seharian di dapur juga boleh dipesan. Dalam pada itu, jika kelonggaran sudah diberikan oleh kerajaan, majikan restoran, peniaga mahupun pekerja perlu memandang serius akan perkara ini dan mengambil langkah berjaga-jaga.

Mencuci tangan dengan kerap adalah yang paling penting malah majikan perlu memastikan bahawa pekerja tidak boleh datang bekerja jika masih dalam keadaan sakit ataupun mengalami gejala yang membimbangkan. Pekerja memakai pelitup muka untuk melindungi pekerja dan pelanggan lain.

Seterusnya, pelanggan juga digalak untuk memakai dua helai pelitup muka ditambah dengan pelindung muka. Pemakaian double face mask digalakkan tetapi tidak diwajibkan terutama ketika berada di tempat sesak dan berisiko tinggi. Selain itu, rakyat pula harus memainkan peranan mereka untuk membantu kerajaan memutuskan rantaian pandemik ini dengan mengambil suntikan vaksin.

Pengambilan vaksin mampu membentuk ketahanan diri seseorang daripada serangan penyakit selain membolehkan tubuh badan menghasilkan sel imuniti dan antibodi. Ini memperlihatkan betapa pentingnya negara-negara mempercepat program vaksinasi, termasuk melengkapkan pemberian dos kedua seperti disarankan.

Ia juga mengelak varian baharu merebak dengan cepat. Justeru, kerajaan juga perlu mempertingkat tindakan kesihatan awam, termasuk program vaksinasi. Yang pasti, kini keadaan belum lagi selamat, walaupun kes di Sarawak menunjukkan trend penurunan. Ini kerana kes secara keseluruhan di Malaysia semakin melonjak.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak