Manfaatkan biasiswa Yayasan Sarawak

KUCHING: Berpuluh-puluh ribu pelajar Sarawak sudah menikmati biasiswa tajaan Yayasan Sarawak sejak 50 tahun lalu, kata Pengarah Yayasan Sarawak Mersal Abang Rosli.

Jelasnya, biasiswa itu turut memberi peluang kepada anak-anak golongan B40 yang cemerlang dalam pelajaran mereka.

“Ini memberi manfaat kepada murid sekolah rendah, pelajar dan penuntut univerisiti dalam dan luar negara,” katanya kepada Suara Sarawak, di sini hari ini.

Mersal menambah, kemudahan kewangan pendidikan itu selaras dengan hasrat Kerajaan Sarawak dalam usaha mengembangkan modal insan melalui perkhidmatan yang Yayasan Sarawak tawarkan.

Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat daripada Suara Sarawak dan New Sarawak Tribune yang diketuai Pegawai Eksekutifnya Dr Jeniri Amir bersama-sama Ketua Pegawai Operasi Mohd Sardon Zainal di pejabat Yayasan Sarawak di Jalan Santubong di sini hari ini.

Sebagai rekod, Yayasan Sarawak yang menyambut ulang tahun ke-50 baru-baru ini ditubuhkan di bawah Ordinan Yayasan Sarawak yang diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Sarawak pada 27 Mei 1971 bagi membuka jalan untuk era baharu dalam pembangunan pendidikan di Sarawak.

Yayasan itu menawar pelbagai jenis khidmat pendidikan dalam bentuk biasiswa termasuk pinjaman dimanfaatkan ribuan rakyat Sarawak.

Ia turut memainkan peranan penting dalam pembangunan modal insan di negeri ini sejajar dengan hasrat untuk mencapai sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2030.

Setakat 2020, seramai 136,314 pelajar Sarawak mendapat manfaat dari yayasan itu bagi melanjutkan pelajaran ke peringkat sijil, diploma, sarjana muda, sarjana, PhD atau profesional di dalam dan luar negara.

Suara Sarawak