Mayat wanita dihanyut kepala air ditemui di celah batu

LAWAS: Wanita yang dilaporkan hilang dihanyut kepala air di sungai Kampung Long Sukang ditemui mati lemas, kira-kira jam 11 pagi tadi.

Menurut Jurucakap Pusat Gerkaan Operasi Bomba Sarawak, mayat Rebecca John, 24 dijumpai di celah batu besar di sungai berkenaan oleh penduduk kampung yang turut serta mencarinya sejak dilaporkan hilang pada Sabtu lalu.

“Mayat mangsa dijumpai kira-kira enam kilometer dari lokasinya dilaporkan hilang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya usaha mengeluarkan mayat mangsa dari celah batu berkenaan dilakukan oleh penduduk kampung bersama-sama dengan pasukan bomba.

Beliau berkata mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Rebecca dilaporkan hilang selepas dihanyutkan kepala air di sungai Kampung Long Sukang, kira-kira jam 4.35 petang Sabtu lalu.

Kejadian berlaku ketika mangsa bersama-sama adik iparnya yang juga berusia 24 tahun sedang mengambil batu di sungai berkenaan.

Bagaimanapun, adik ipar mangsa berjaya diselamatkan oleh orang kampung yang berada di tempat kejadian.

Mayat Rebecca ditemui di celah batu besar di sungai Kampung Long Sukang kira-kira jam 11 pagi tadi.

Suara Sarawak