Mekanik 21 tahun ditahan bagi siasatan insiden kebakaran kereta

PADAWAN: Seorang mekanik berusia 21 tahun ditangkap bagi membantu siasatan polis berhubung insiden kebakaran sebuah kereta kira-kira jam 1.20 pagi di Batu 18 Kuching-Serian, semalam.

Lelaki terbabit ditahan oleh anggota Jabatan Siasatan Jenayah IPD Padawan bersama Cawangan D7 IPK Sarawak di pekarangan pejabat JSJ IPD Padawan sekitar jam 4.45 petang pada hari sama kejadian.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintendan Aidil Bolhassan berkata, kejadian tersebut disyaki berpunca akibat daripada insiden isu pengagihan bekalan makanan kepada penduduk pada 11 Julai yang lalu.

Menurutnya, kenderaan terbabit milik mangsa iaitu anak kepada pemilik kedai yang diserang oleh dipecah harta benda di dalam kedainya di Siburan, Jumaat lalu.

Jelasnya, suspek yang ditahan bagaimanapun tidak mengaku membakar kenderaan milik pengadu.

“Hasil siasatan awal terhadap kebakaran sebuah kereta jenis Toyota Ipsum mendapati tiada sebarang kemalangan jiwa dan kecederaan berlaku.

“Siasatan masih diteruskan memandangkan tiada liputan sistem Kamera Litar Tertutup (CCTV) di tempat kejadian namun terdapat liputan di kedai berhampiran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Suara Sarawak