Paralimpik Tokyo 2020: Jamery manfaat masa yang ada

KUCHING: Perenang handalan negara, Jamery Siga (S5) akan memanfaat tempoh masa hampir sebulan ini untuk meningkatkan prestasi dirinya mencakupi pelbagai aspek.

Usaha kearah itu sememangnya dituntut bagi memastikan kemunculan anak jati kelahiran Kampung Kuala Mendalam, Ulu Medamit, Limbang itu benar-benar bersedia untuk turun menggalas cabaran negara pada temasya Sukan Paralimpik Tokyo 2020 yang akan berlangsung hujung Ogos nanti.

“Ada masa hampir sebulan lagi sebelum tirai saingan temasya berprestij dunia itu disingkap. Dan saya akan menggunakan masa yang ada untuk memperkemaskan diri mencakupi pelbagai aspek,” katanya kepada Arena Suara Sarawak.

Menurut Jamery, fokus dirinya ketika ini terarah memperbaiki catatan masa harian ketika berada di kolam renang.

“Saya akan sentiasa melihat kepada perbandingan catatan masa setiap kali turun ke kolam renang. Ia penting kerana pengukur kemampuan sebenar apabila beraksi di kejohanan itu kelak,” tambah Jamery lagi.

Untuk rekod temasya Sukan Paralimpik Tokyo 2020 merupakan penampilan ketiga buat Jamery Siga bersama kontinjen negara.

Selepas kali pertama diberi kepercayaan mewakili negara ketika Sukan Paralimpik London 2012 dan Sukan Paralimpik Rio, Brazil 2016.

Menurut Jamery, beliau pada Sukan Paralimpik Tokyo 2020 akan bersaing dalam satu acara sahaja iaitu 50 meter kuak kupu-kupu.

Suara Sarawak