PCDS 2030 pacu ekonomi Sarawak

KUCHING: Pelancaran Pelan Strategi Pembangunan 2030 pasca-Covid-19 (PCDS 2030) adalah satu langkah yang tepat, kata Pengerusi Badan Perhubungan Perikatan Nasional Sarawak, Senator Jaziri Alkaf A. Suffian.

Menurutnya, PCDS 2030 di bawah pimpinan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg akan dapat membantu memacu Sarawak menjadi negeri maju menjelang 2030.

“Saya yakin dan optimis kerajaan negeri mampu mencapai segala yang digariskan dalam PCDS 2030 melihat kepada kesungguhan dan kewibawaan kerajaan untuk kekal fokus kepada usaha memperkasa dan berkhidmat untuk rakyat walaupun ketika pandemik Covid-19.

“Antara keutamaan untuk menjayakan usaha ini adalah menggandakan pertumbuhan ekonomi Sarawak dari RM136 bilion pada tahun 2019 kepada RM282 bilion pada tahun 2030 dan untuk itu ekonomi Sarawak perlu berkembang pada kadar enam peratus hingga lapan peratus setahun,” katanya dalam satu kenyataan media.

Jelasnya, beliau juga tertarik dengan kenyataan Abang Johari bahawa PCDS 2030 merangkumi masyarakat inklusif iaitu semua rakyat Sarawak akan mempunyai peluang yang sama untuk terlibat dalam pembangunan keseluruhan negeri dan menikmati pengagihan kekayaan secara adil melalui peluang pekerjaan dan perniagaan.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak