Pekerja selamatkan stesen minyak daripada meletup

SIBU: Tindakan pantas pekerja sebuah stesen minyak di Jalan Brother Albinus (seberang SMK Sacred Heart) berjaya menyelamatkan stesen dan lori tangki minyak daripada meletup atau berlaku kebakaran yang lebih dahsyat pada pagi tadi.

 

Kebakaran itu bagaimanapun hanya melibatkan sebuah lori minyak yang sedang melakukan kerja pengisian minyak ke stesen minyak terbabit.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak dalam kenyataan berkata, Balai Bomba Penyelamat (BBP) Sibu Sentral menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 10.33 pagi dan mengerahkan 11 anggotanya diketuai oleh PBK II Omar Ali Saifuddin beserta sebuah jentera FRT dan EMRS.

“Setibanya di lokasi, komander operasi melaporkan kebakaran hanya melibatkan 5 peratus di bahagian lori tersebut.

“Kebakaran berpunca daripada kerja-kerja mengisi petrol RON 95 ke dalam tangki minyak bawah tanah stesen minyak terbabit,” katanya.

Bagaimanapun, katanya kebakaran terbabit tidak melibatkan struktur dan pam minyak.

Menurutnya, kebakaran kemudian berjaya dipadamkan oleh pekerja stesen minyak terbabit menggunakan 11 alat pemadam api.

“Kebakaran tidak melibatkan kecederaan dan kemalangan jiwa.

“Pasukan bomba yang tiba di lokasi hanya membuat pemeriksaan bagi mempastikan tiada lagi punca punca api sebelum operasi ditamatkan pada jam 11.38 pagi,” katanya.

Terdahulu, kejadian ini tular di media sosial yang menimbulkan kebimbangan orang ramai.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak