Pekerja wanita cedera selamatkan stesen minyak terbakar

SIBU: Seorang pekerja wanita di sebuah stesen minyak di Jalan Brother Albinus mengalami kecederaan ketika berusaha memadamkan kebakaran yang berlaku di tangki bawah tanah stesen minyak terbabit.

Ketua Balai Bomba Penyelamat (BBP) Sibu Sentral Suha Kana berkata mangsa
sudah dibawa ke Klinik Kesihatan Jalan Lanang sebelum dipindahkan ke Hospital Sibu untuk rawatan lanjut.

“Hasil siasatan awal, kejadian berlaku ketika mangsa sedang melakukan kerja-kerja penyukatan di tangki minyak bawah tanah untuk mengeluarkan minyak dari tangki berkenaan.

“Ketika itu sebuah van melintas lori tangki terbabit menyebabkan api tiba-tiba menyala dan berlaku letupan, yang mungkin berpunca daripada bateri van atau saluran ekzosnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun, katanya dalam kejadian sekitar jam 10 pagi itu, pekerja stesen minyak terbabit berjaya memadamkan api dengan menggunakan 11 unit alat pemadam api.

Suna berkata, jumlah kerugian belum dapat dipastikan lagi.

Manakala van dan lori tangki minyak terbabit hanya mengalami kerosakan kecil.

Rentetan kejadian itu, orang ramai yang berdekatan bertempiaran lari menyelamatkan diri kerana bimbang keadaan akan berlaku dengan lebih teruk lagi.

Rakaman video kejadian turut tular di media sosial, menunjukkan asap tebal di udara serta menyebabkan kesesakan lalu lintas di sepanjang Jalan Brother Albinus.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak