Penjawat awam kerugian RM160,000 diperdaya Macau Scam

KUCHING: Seorang penjawat awam mengalami kerugian sebanyak RM160,000 akibat diperdaya sindiket Macau Scam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak Superintendan Maria Rasid berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadiam pada Sabtu lalu.

Katanya lelaki berusia 30-an itu terjerat selepas menerima satu panggilan daripada seorang wanita yang mendakwa dirinya daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) pada 4 Julai lalu.

Katanya wanita terbabit mengatakan mangsa mempunyai tunggakan cukai berjumlah RM38,000 daripada Syarikat Anco Marketing & Supply namun mangsa menafikannya.

“Mangsa kemudian diarahkan untuk membuat laporan polis secara dalam talian dan telah berhubung dengan dua suspek yang menyamar sebagai Inspektor Muhammad Ali (017-3936039) dan ACP Datuk Syahrizal (017-8144901) dari Cawangan Jenayah IPK Pahang.

“Kemudian mangsa dikatakan telah terlibat dengan aktiviti pengubahan wang haram dan dadah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Maria menambah sindiket turut mengarahkan mangsa mengisi maklumat peribadi perbankan serta membuat pembayaran sebanyak RM288,000 untuk membayar pihak mahkamah.

“Disebabkan tiada wang, mangsa telah membuat pinjaman peribadi daripada sebuah institusi kewangan dan pinjaman yang diluluskan telah dimasukkan ke dalam akaun simpanannya.

“Mangsa hanya menyedari telah ditipu apabila menerima panggilan daripada institusi kewangan berkenaan pada 23 Julai lalu yang memaklumkan terdapat dua transaksi pemindahan wang berjumlah RM160,000 dari akaun simpanannya,” katanya.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak