PKP: Masalah belia di Sarawak berkurangan

ASAJAYA: Masalah sosial dalam kalangan belia di Sarawak mencatatkan pengurangan, kata Menteri Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

Jelas beliau, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan orang ramai terutamanya golongan belia mematuhi arahan duduk di rumah termasuk perintah berkurung yang bermula jam 10 malam.

“Anda dapat melihat masalah sosial melibatkan belia termasuk berkaitan kes dadah dan ragut semakin berkurangan.

“Ternyata pelaksanaan PKP ketika ini juga mendatangkan kebaikkan,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Program Ziarah Belia Asajaya 2021 di Asajaya, hari ini.

Dalam pada itu Abdul Karim berkata, kes bunuh diri ekoran tekanan yang dihadapi semasa pandemik Covid-19 kian meningkat dan membimbangkan ketika ini.

Tambah Adun Asajaya itu, kebanyakan kes yang dilaporkan berlaku di Semenanjung Malaysia, namun bukan satu isu di Sarawak kerana ia ditangani dengan baik di sini.

Justeru, beliau berharap golongan belia memainkan peranan penting mereka dengan menunjukkan semangat prihatin dan saling bantu-membantu dalam masyarakat.

Suara Sarawak