Polis rampas rokok, arak seludup dalam sekatan jalan raya

MUKAH: Polis menahan sebuah kenderaan pacuan empat roda yang dipercayai membawa rokok dan minuman keras seludup dalam Sekatan Jalan Raya (SJR) di simpang Jebungan, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Mukah Deputi Superitenden Muhamad Rizal Alias berkata, pemeriksaan awal mendapati pemandunya yang berusia 54 tahun gagal mengemukakan dokumen pengesahan terhadap barang yang dibawa.

“Sebanyak 71 karton minuman keras dan 96 karton rokok pelbagai jenis dijumpai disimpan di bahagian belakang kenderaan.

“Kesemua barangan seludup serta kenderaan dirampas dan jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM105,000,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, kesemua rampasan telah dibawa ke Balai Polis Mukah manakala suspek ditahan untuk tindakan siasatan lanjut.

Ujarnya, kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967.

“Jika sabit kesalahan, suspek boleh didenda tidak kurang 10 kali ganda nilai atau RM100,000 (yang mana lebih tinggi) tidak lebih 20 kali ganda nilai atau RM500,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Pelbagai jenis rokok dan minuman keras disyaki cuba diseludup kini dirampas untuk siasatan lanjut.

Suara Sarawak