Polis Sarawak pantau mogok doktor kontrak

KUCHING: Polis Sarawak sedang memantau gerakan hartal atau bantahan secara aman doktor kontrak yang membabitkan petugas perubatan di negeri ini.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai isu berkenaan dan pemantauan telah dibuat di hospital dan klinik kesihatan di seluruh Sarawak.

“Setakat tengah hari ini, tiada dikesan mana-mana demonstrasi tentang isu hartal ini di seluruh Sarawak dan pemantauan masih diteruskan,” katanya yang dihubungi, hari ini.

Beliau mengulas mengenai isu Hartal Doktor Kontrak, apabila Hospital Umum Sarawak (HUS) turut tersenarai dalam protes berkenaan yang dirancang pada hari ini.

Terdahulu, Pengarah Kesihatan Sarawak Datuk Dr Mohamed Sapian Mohamed berkata pihaknya turut memantau kegiatan itu, bukan sahaja di HUS tetapi juga melibatkan semua hospital dan klinik kesihatan di seluruh Sarawak.

Bagaimanapun, katanya berdasarkan maklum balas yang diterima, tiada demonstrasi mogok yang berlaku melibatkan petugas perubatan di Sarawak.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak