PRN Sarawak: GPS serah kepada Agong, Yang di-Pertua Negeri

KUCHING: Yang di-Pertuan Agong mungkin berkenan untuk menamatkan Proklamasi Darurat di Sarawak lebih awal sekiranya penularan pandemik Covid-19 semakin reda, sekali gus membolehkan Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan.

Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, ia akan membolehkan rakyat negeri ini melaksanakan hak mereka untuk memilih dan memberi mandat kepada GPS untuk terus mentadbir kerajaan negeri.

“GPS menaruh sepenuh keyakinan di atas kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong dan Yang di-Pertua Negeri Sarawak dalam perkara ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Ahli Parlimen Kapit itu, Proklamasi Darurat adalah wajar dilaksanakan dengan mengambil kira keselamatan dan nyawa rakyat di negeri ini yang belum bersedia untuk berhadapan dengan PRN disebabkan penularan wabak Covid-19 yang masih tinggi.

“Bagaimanapun, GPS dan seluruh rakyat Sarawak berharap keadaan akan menjadi semakin baik seiring dengan kejayaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengisytiharkan Proklamasi Darurat untuk menggantung PRN Sarawak ke-12 bermula Isnin ini sehingga 2 Februari 2022.

Suara Sarawak