PRN Sarawak hanya akan diadakan jika keadaan selamat

KUCHING: Mandat rakyat Sarawak akan dikembalikan apabila keadaan di negeri ini selamat untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN).

Presiden SUPP Datuk Seri Dr. Sim Kui Hian berkata, pandemik Covid-19 telah memberi cabaran kepada seluruh dunia termasuk sistem kerajaan negeri.

“Apabila keadaan betul-betul selamat, kita akan mengembalikan mandat kepada rakyat.

“Biar rakyat yang memutuskan siapa yang lebih cekap, bekerja dan menjalankan tugas dalam waktu mencabar ini atau siapa yang masih meneruskan tabiat lama berpolitik untuk kedudukan masing-masing,” kata Dr. Sim dalam catatan di Facebooknya hari ini.

Dr. Sim dalam pada itu menzahirkan terima kasih kepada Yang di-Pertuan Agong dan Yang di-Pertua Negeri atas rundingan bersama Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak serta nasihat daripada golongan profesional untuk melanjutkan Proklamasi Darurat di Sarawak bermula 2 Ogos ini hingga 2 Februari 2022.

Suara Sarawak