Proses vaksinasi untuk penduduk Samarahan memberangsangkan

KOTA SAMARAHAN: Bahagian Samarahan akan menjadi kawasan perbandaran yang selamat dalam tempoh dua minggu ke tiga minggu akan datang apabila penduduknya telah melengkapkan dua dos vaksin Covid-19.

Ia berikutan sekitar 142,006 atau 83.6 peratus populasi di Bahagian Samarahan telah menerima suntikan vaksin untuk dos yang pertama.

Pengerusi Majlis Perbandaran Kota Samarahan Datuk Peter Minos berkata beliau amat berpuas hati dengan perkembangan tersebut.

Kata Minos, ia merupakan hasil kerjasama bersama Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) dan Dewan Suarah Kota Samarahan dalam pemberian vaksin untuk penduduk di kawasan MPKS.

“Kami amat gembira bahawa kami telah memainkan peranan kami bersama Unimas dan Dewan Suarah Kota Samarahan dalam menyediakan senarai nama penduduk yang ingin divaksin. Ini telah dilakukan sebulan yang lalu dan saya percaya orang ramai juga gembira.

“Kita adalah majlis perbandaran yang pertama di Sarawak yang membantu secara langsung dalam program pemberian vaksin dan menjadi majlis perbandaran yang pertama memberi bantuan makanan dengan kerjasama 14 pasar raya di kawasan pentadbiran kami,” katanya kepada pemberita pada Projek Pantri Komuniti Kota Samarahan di sini hari ini.

Suara Sarawak