Pusat perlombongan bitcoin di Demak Laut diserbu, 170 mesin dirampas

KUCHING: Polis menyerbu sebuah pusat perlombongan bitcoin haram yang mengoperasikan sebanyak 170 buah mesin bitcoin di kawasan perindustrian Jalan Bako, Demak Laut hari ini.

Serbuan sekitar jam 3 petang itu menyaksikan seorang lelaki warga Indonesia berusia 30 tahun yang mengaku sebagai penjaga pusat itu diberkas manakala dua lagi individu sempat melarikan diri.

Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata serbuan Op Bitcoin melibatkan 15 anggota daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching dan Sarawak Energy Berhad itu dibuat hasil maklumat daripada orang awam.

“Ini merupakan kejayaan pertama tangkapan aktiviti sindiket pengoperasian bitcoin secara haram di Kuching tahun ini.

“Kesemua mesin tersebut didapati sudah beroperasi selama hampir tiga bulan berdasarkan rekod yang ditemui oleh pasukan serbuan di lokasi,” katanya ketika ditemui selepas serbuan berkenaan, hari ini.

Beliau berkata kerugian sumber elektrik yang telah dicuri hasil penyambungan elektrik secara haram itu mencecah sebanyak RM110,000.

Sementara itu, Ahsmon berkata suspek yang ditahan didapati tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan yang sah manakala usaha mengesan dua lagi suspek yang berjaya melarikan diri sedang giat dijalankan.

Katanya kes disiasat di bawah Seksyen Ordinan Elektrik Negeri Sarawak, Seksyen 379 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Akta Imigresen 1959/63.

RAMPAS… Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Ahsmon Bajah menunjukkan mesin bitcoin yang dirampas di lokasi serbuan.
 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak