Rakyat tentukan hala tuju Sarawak

KUCHING: Tarikh 22 Julai bukan sekadar sejarah Sarawak, tetapi harus dihayati oleh generasi baharu agar sedar betapa hala tuju Sarawak hanya ditentukan oleh rakyat Sarawak sendiri.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, 22 Julai merupakan tarikh keramat kepada rakyat Sarawak untuk mengingati sejarah negeri ini bebas daripada belenggu penjajahan Inggeris.

“Pada tarikh tersebut, kita berjaya mendapatkan taraf berkerajaan sendiri yang jelas menunjukkan usaha untuk mencapai kemerdekaan negeri kita dengan pembentukan kabinet pertama Sarawak pada 22 Julai 1963.

“Kabinet pertama ini diketuai oleh Tan Sri Stephen Kalong Ningkan sebagai ketua menteri dan turut dianggotai oleh jemaah menteri terdiri daripada pelbagai kaum yang merupakan anak jati Sarawak,” katanya kepada media.

Awang Tengah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan menambah, dalam usaha Sarawak mencapai status negeri maju menjelang 2030, cabaran yang digalas bukan tugas mudah.

“Justeru bagi memastikan misi ini tercapai, kita harus bersatu untuk mempertingkat keupayaan kita dari segi ekonomi dan melahirkan modal insan yang berkemahiran untuk memacu Sarawak ke peringkat lebih tinggi.

“Marilah kita sebagai rakyat Sarawak, terus bersatu padu tanpa mengira pegangan agama, bangsa, budaya dan latar belakang yang berbeza untuk menentukan negeri Sarawak terus menikmati kestabilan politik, aman, sejahtera dan maju jaya,” ujarnya.

Suara Sarawak