Sarawak destinasi pelaburan pilihan

KUCHING: Turut digariskan dalam Pelan Strategi Pembangunan 2030 pasca-Covid-19 ialah enam sektor ekonomi sebagai pemacu pertumbuhan utama, iaitu pembuatan, pertanian komersial, pelancongan, perhutanan, perlombongan dan perkhidmatan sosial.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, sektor pembuatan bertujuan mempromosikan Sarawak sebagai destinasi pelaburan pilihan terutama aktiviti hiliran bernilai tinggi yang berasaskan sumber dan bukan sumber sama ada DDI atau FDI.

“Ini akan disokong oleh pengembangan ekosistem yang efisien untuk pelaburan swasta seperti taman perindustrian yang dilengkapi dengan infrastruktur dan kemudahan industri.

“Antara inisiatif tersebut merangkumi pengembangan hub petrokimia, perluasan Taman Teknologi Tinggi Samajaya, Taman Bio-Industri dan taman perabot dengan lebih banyak program keusahawanan yang melibatkan masyarakat tempatan dalam perniagaan dilaksanakan untuk meningkatkan penyertaan masyarakat terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS),” katanya ketika melancarkan Pelan Strategi Pembangunan 2030 pasca-Covid-19, di sini.

Menurut Abang Johari, Sarawak berhasrat untuk menjadi pengeksport makanan bersih menjelang 2030.

“Ini akan dicapai melalui sektor pertanian komersial yang memanfaatkan pertanian moden dan perkongsian global. “Pertanian komersial akan menarik pelaburan swasta untuk mempercepat produktiviti dan pertumbuhan di sektor ini yang menyediakan bahan makanan berharga untuk pemprosesan makanan hiliran bernilai tambah, terutama pasaran eksport. Antara inisiatif utama adalah membangunkan taman pertanian, produk hiliran bernilai tinggi seperti program petrokimia dan pertanian pintar,” jelasnya.

Katanya, sektor ekonomi ketiga ialah pelancongan yang membantu mempromosikan dan penjenamaan Sarawak di seluruh dunia. “Menjelang tahun 2030, Sarawak ingin menjadi destinasi utama untuk ekopelancongan dan perniagaan di wilayah Asean dengan komuniti yang diberi kuasa dalam memelihara warisan, budaya dan kepelbagaian agama bagi mempromosikan pelaburan dan pembangunan di sektor pelancongan.

“Lebih banyak produk dan aset pelancongan akan dikembangkan dan disokong oleh peningkatan hubungan dan keupayaan pemain pelancongan tempatan,” katanya.

Menurutnya lagi, Sarawak akan mempromosikan budaya, pengembaraan, alam semula jadi, makanan dan festival dan mempelbagaikan fokus pelancongan Sarawak menjadi pelancongan kesihatan, pelancongan sukan, agropelancongan dan pelancongan pendidikan serta diharap dapat meningkatkan jumlah pengunjung sebanyak 7.5 peratus setahun.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak