KUCHING: Orang ramai masih tidak dibenarkan untuk makan di dalam premis makanan, walaupun Sarawak memasuki Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) esok.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata larangan itu dibuat sebagai langkah keselamatan susulan pengesanan varian Delta Covid-19 di negeri ini.
“Memandangkan bahawa varian Delta telah dikesan di Sarawak, Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan akan mengkaji semula dan menambah baik garis panduan (SOP) bagi ‘dine-in’ di premis makan dalam Fasa 2 PPN.
“Oleh itu, buat sementara waktu ‘dine-in’ tidak dibenarkan sehingga SOP terkini dikeluarkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sebelum ini, makan di dalam premis makanan adalah antara aktiviti yang dibenarkan dalam Fasa 2 PPN di Sarawak, yang berkuat kuasa 14 Julai ini.
Namun, had bilangan pelanggan tertakluk kepada SOP yang ditetapkan oleh Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan.
Pada 8 Julai lalu, kes positif Covid-19 pertama membabitkan varian Delta telah dikesan di Sarawak.