Sebuah rumah di Kampung Empelam, Kabong musnah terbakar

KABONG: Sebuah rumah dua tingkat di Kampung Empelam musnah manakala tiga buah rumah lagi turut terjejas akibat kebakaran, pagi tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Sarawak berkata pihaknya menerima laporan sekitar jam 10.22 pagi sebelum mengerahkan pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Saratok ke lokasi kejadian.

Insiden difahamkan bermula pada rumah dua tingkat terbabit sebelum api merebak ke tiga buah rumah lain yang berhampiran.

“Rumah dua tingkat terbabit musnah 100 peratus manakala tiga buah rumah lagi terbakar sedikit iaitu kira-kira 10 peratus,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun, katanya tiada kemalangan jiwa berlaku dalam kejadian tersebut.

Katanya punca kebakaran masih belum dikenal pasti dan siasatan sedang dijalankan.

MUSNAH…Kebakaran menyebabkan rumah dua tingkat musnah 100 peratus.

 

PADAM…Pasukan bomba melakukan pemadaman kebakaran yang memusnahkan sebuah rumah.

Suara Sarawak