Sejumlah RM100,000 diagihkan kepada Dun di bawah Parlimen Kapit menerusi Pemulih

KAPIT: Sejumlah RM100,000 diagihkan kepada setiap Dun di bawah Parlimen Kapit bagi program Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) hari ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna merangkap Ahli Parlimen Kapit Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, melalui Pemulih sebanyak 3,000 buah keluarga bakal menerima Bantuan Bakul Makanan.

“Program pengagihan Bantuan Bekalan Makanan akan dilaksanakan dalam tempoh sebulan sehingga bulan Ogos depan menerusi jawatankuasa tertentu bersama Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kapit (P215).

“Dana yang agak terhad dan tidak mencukupi untuk membantu kesemua isi rumah di kawasan ini, hanya akan difokuskan kepada golongan yang amat memerlukan dan terdesak sahaja di dalam program ini,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambah beliau, memandangkan Kerajaan Sarawak juga telah menyampaikan bantuan bakul makanan kepada semua isi rumah di kawasan Kapit baru-baru ini semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akibat Covid-19, menunjukkan bahawa tiada yang tertinggal daripada program bantuan Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan.

Jelasnya, antara makanan yang disumbangkan ialah makanan kering dan bahan masakan yang diharapkan dapat meringankan beban penduduk yang kurang berkemampuan dan terjejas semasa pandemik Covid-19.

Suara Sarawak