Sekolah rendah Cina di Kuching berjaya kumpul sumbangan RM96,741

KUCHING: Persekutuan Persatuan Cina Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian menerima sumbangan sebanyak RM96,741 untuk kutipan Dana Sokongan Antipandemik Sarawak, hari ini.

Ia merupakan sumbangan seramai 5,122 individu dari enam buah Sekolah Rendah Chung Hua Kuching dan Lembaga Sekolah Rendah Chung Hua.

Setiausaha Agung Lembaga Pengurusan Sekolah Rendah Chung Hua No 1-6 Kuching, Rodger Chan Siong Boh berkata pihaknya berpuas hati dengan jumlah sumbangan yang diperoleh daripada penyumbang yang terdiri daripada murid, guru, ibu bapa serta ahli lembaga sekolah.

“Jumlah tersebut adalah sesuatu yang bermakna kerana ia menunjukkan anak kecil juga mampu turut serta dan mempunyai kesedaran untuk memberi bantuan yang diperlukan.

“Malah lebih bermakna apabila sebilangan besar murid-murid yang menyumbang adalah golongan bumiputera sekali gus membuktikan rakyat Sarawak teguh bersatu memerangi pandemik ini tanpa mengira bangsa, agama dan latar belakang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis ringkas penyerahan sumbangan kepada Persekutuan Persatuan Cina Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian di sini hari ini.

Rodger turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang menderma dan terlibat dalam kutipan dana tersebut.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak