Sindiket judi kaut untung RM16,000 sehari tumpas

KUCHING: Sindiket judi dalam talian yang menjadikan sebuah kondominium sebagai pusat pengoperasian terbongkar setelah kediaman di Jalan Song itu diserbu polis, semalam.

Serbuan kira-kira jam 9.30 malam itu berjaya menahan seramai enam individu dipercayai pekerja yang menjalankan pengoperasian sekali gus mengaku menerima bayaran upah sebanyak RM1500 hingga RM1800 sebulan.

Kesemua suspek merupakan warga tempatan masing-masing berusia lingkungan 19 hingga 29 tahun.

Siasatan awal mendapati mereka juga menjadikan kondo yang disewa dengan bayaran sebanyak RM1,900 sebulan itu dijadikan sebagai tempat tinggal.

Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, salah seorang suspek merupakan perancang kedua operasi judi dalam talian yang dijalankan di kondo terbabit.

“Kondo ini didapati mula beroperasi bermula pada enam bulan lalu, dengan mengaut keuntungan dianggarkan bernilai RM16,000 sehari, bersamaaan dengan RM2.8 juta sejak enam bulan beroperasi.

“Susulan itu, usaha menjejaki suspek iaitu dalang utama kes ini akan dijalankan dengan salah seorang yang ditangkap merupakan orang nombor dua perancang pusat judi dalam talian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dedahnya modus operandi sindiket adalah dengan menggunakan medium media sosial termasuk Whatapp, Facebook untuk menarik golongan sasaran iaitu warga tempatan.

Katanya pengoperasian sindiket adalah 24 jam tanpa henti dengan setiap jadual pertukaran pekerja akan dibahagikan kepada 12 jam.

Suara Sarawak