Solat Jumaat dibenarkan di masjid, surau

KUCHING: Majlis Islam Sarawak (MIS) memberi kebenaran untuk mendirikan solat Jumaat di masjid dan surau dengan had jemaah dan mematuhi penjarakan fizikal satu meter.

MIS dalam kenyataan hari ini berkata, bagi Masjid Jamek Negeri Sarawak, jumlah jemaah yang dibenarkan tidak melebihi 400 orang.

Manakala katanya, jumlah jemaah di masjid Bahagian, Daerah, Daerah Kecil, Kariah tidak melebihi 200 orang serta tidak melebihi 100 orang bagi surau berjumaat.

“Had jemaah adalah termasuk pegawai masjid dan jawatankuasa pengurusan,” katanya.

Sementara, bagi solat Fardhu, MIS berkata ia dibenarkan dengan had jemaah tidak melebihi 150 orang bagi Masjid Jamek Negeri Sarawak, dan had jemaah adalah termasuk Pegawai Masjid dan Jawatankuasa Pengurusan.

Arahan itu turut melibatkan masjid Bahagian, Daerah, Daerah Kecil, Kariah dan Surau dengan tidak melebihi 100 orang.

“Bagi aktiviti pengimarahan di masjid/ surau, aktiviti seperti ceramah, kuliah, kelas pengajian dan lain-lain dibenarkan mengikuti tempoh dan had jemaah yang ditetapkan.

“Aktiviti tersebut dibenarkan selepas solat Maghrib hingga azan solat Isyak dan selepas solat subuh hingga 7.30 pagi,” katanya.

MIS menambah, aktiviti seperti siaran langsung melalui media sosial dibenarkan di masjid dan surau dengan masa siaran adalah selepas solat Maghrib hingga azan solat Isyak, selepas solat Subuh hingga 7.30 pagi dan semasa khutbah Jumaat sahaja.

Untuk pengurusan jenazah yang tiada kaitan dengan Covid-19 di masjid dan surau, MIS berkata kehadiran waris yang dibenarkan tidak melebihi 10 orang.

Tambahnya, kehadiran pengaie atau pengurus jenazah adalah dibenarkan dengan bilangan yang sesuai.

Manakala, MIS berkata aktiviti ziarah kubur ditangguh sementara.

MIS menegaskan semua garis panduan Covid-19 hendaklah dipatuhi sebagaimana yang ditetapkan Lembaga Fatwa Negeri Sarawak, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB), Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Katanya garis panduan ini berkuat kuasa mulai 7 Julai sehingga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditamatkan atau mana-mana arahan lanjut yang ditetapkan oleh Majlis Islam Sarawak.

Suara Sarawak