S’wak mengorak langkah kaji wabak, epidemiologi

KUCHING: Penubuhan Majlis Pembangunan dan Penyelidikan Sarawak (SRDC) serta Pusat Penyakit Berjangkit Sarawak (SIDC) merupakan tonggak penting dalam agenda penyelidikan dan pembangunan (R&D) di negeri ini.

Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi, Datuk Amar Michael Manyin Jawong berkata, walaupun sudah dilanda Covid-19, ia sekurang-kurangnya memberi peluang kepada SIDC untuk mempelajari dan mengkaji mengenai penyakit dan epidemiologi.

“Malah akan memberi peluang kepada syarikat berkaitan dengan bioperubatan dan bioteknologi untuk mengembangkan produk dan perkhidmatan bertaraf dunia di Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian SRDC dan Pusat Penyakit Berjangkit Sarawak (SIDC) yang dilancarkan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, pada Isnin.

Katanya, penyelidikan itu juga akan menyokong kemajuan yang mendorong kepada pertumbuhan ekonomi dan kemakmuran negeri. “SRDC dibentuk untuk membolehkan penyelarasan aktiviti penyelidikan yang berkesan, memudahkan dan menarik kolaborasi antara institusi penyelidikan tempatan dengan antarabangsa.

“Malah, ia juga akan dapat meningkatkan penyelidikan dan pembangunan yang menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi di Sarawak,” katanya. Mengulas lanjut, Manyin mendedahkan bahawa idea penubuhan majlis ini dicetuskan pada Mei 2017 bersama-sama Menteri Muda Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Dr Annuar Rapaee.

Jelasnya, ketika itu, beliau dan Dr Annuar menyedari walaupun terdapat banyak program penyelidikan dan pembangunan yang dijalankan oleh pelbagai agensi dan industri, usaha penyelidikan ini tidak dapat diselaraskan.

“Keadaan ini mengakibatkan kurangnya kolaborasi yang berkesan, perkongsian pengetahuan bagi mencapai impak atau hasil yang diingini. “Oleh itu, perkara yang diperlukan adalah menubuhkan badan penyelaras untuk mengurus dan menawarkan dana penyelidikan bagi menyokong pembangunan modal insan dalam pelbagai sektor penyelidikan,” katanya.

Jelasnya, penubuhan SIDC di dalam SRDC salah satu daripada inisiatif untuk merealisasikan visi dan misi yang dikehendaki Kerajaan Sarawak. “ “Justeru, kami amat menantinantikan ekosistem penyelidikan dan pembangunan yang agresif dan produktif di Sarawak pada masa yang akan datang,” katanya.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak