Teruskan program subsidi gaji

KUCHING: Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) sekali lagi tidak memenuhi keperluan khusus industri pelancongan dan perhotelan walaupun ia dinyatakan sebagai salah satu sektor yang paling terkesan, kata Persatuan Hotel-hotel Malaysia Cawangan Sarawak.

Pengerusinya, John Teo berkata, pemberian diskaun elektrik sememangnya diperlukan tetapi kuantum tetap 10 peratus hampir tidak mencukupi dan jumlahnya tidak signifikan.

“Keutamaan inisiatif ini haruslah melanjutkan Program Subsidi Gaji untuk empat bulan lagi, khususnya dua bulan untuk fasa kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan dua bulan lagi untuk fasa ketiga bagi sektor-sektor dalam senarai negatif,” katanya dalam kenyataan.

Bagaimanapun, beliau berkata bagi Program Subsidi Upah, penghapusan had gaji di bawah RM4,000 sangat dialu-alukan kerana ia membolehkan majikan memanfaatkan subsidi untuk semua peringkat pekerjanya sekarang.

Selain itu, Teo berkata pengecualian levi HRD Corp selama dua bulan lagi juga tidak jelas untuk industri perhotelan kerana dinyatakan hanya untuk majikan yang tidak beroperasi semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Pengecualian hingga Disember 2021 yang diberikan kepada industri lain yang baru ditambahkan ke dalam akta tidak merangkumi industri hotel seperti yang dijelaskan oleh HRD Corp,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan kenapa bantuan kewangan sekali sahaja berjumlah RM3,000 hanya ditawarkan kepada pengusaha pelancongan tanpa melibatkan perhotelan, walaupun perhotelan walaupun mengalami kerugian besar serta beban aliran tunai.

Pada masa sama, Teo berkata perluasan pengecualian Cukai Pelancongan dan Cukai Perkhidmatan untuk hotel hingga Desember 2021 diperlukan untuk mendorong perbelanjaan walaupun bukan merupakan dukungan fiskal langsung.

“Industri ini juga mengalualukan moratorium pinjaman yang sangat diperlukan untuk bukan sahaja perniagaan pelancongan dan hotel tetapi yang lebih penting lagi adalah masyarakat seluruh industri.

“Bagaimanapun, moratorium itu mestilah tanpa faedah untuk memastikan peminjam tidak jatuh ke dalam hutang yang lebih mendalam,” katanya. Di samping itu, Teo berkata pihaknya juga menunggu apakah pakej PEMULIH baru daripada Kerajaan Sarawak.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak