Tiada masalah KC FC berkampung di Semenanjung bagi pusingan kedua Liga Premier 2021

KUCHING: Tiada masalah bagi Kuching (KC) FC kembali berkampung di Semenanjung untuk meneruskan aksi pusingan kedua kempen Liga Premier 2021 sekiranya diarahkan berbuat demikian.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KC FC Iswandi Ali Hassan memberitahu, bagaimanapun setakat ini pihaknya belum menerima pekeliling daripada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) berhubung perkara itu.

“Tiada masalah bagi KC FC jika ada arahan daripada pihak MFL untuk kami beraksi di Semenanjung semula.

“Namun, setakat ini jadual perlawanan KC FC kekal beraksi di Kuching,” ujar Iswandi kepada Arena Suara Sarawak.

Dalam perkembangan sama, Iswandi menyatakan belum mengetahui status perlawanan KC FC yang dijadual menentang Sarawak United FC (SU FC) Sabtu ini (31 Julai).

“Kita percaya perlawanan antara KC FC dan SU FC hujung minggu ini akan turut ditunda kerana pemain kami masih dikuarantin sehingga 9 Ogos depan berikutan beberapa orang termasuk pegawai disahkan positif Covid-19,” tambah Iswandi.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak