Tiada perlanggaran SOP Aidiladha di Sarawak

KUCHING: Tiada perlanggaran Prosedur Operasi Standard (SOP) di Sarawak sempena sambutan Hari Raya Aidiladha, semalam.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail berkata pemantauan yang dijalankan oleh pasukannya mendapati tiada aktiviti yang melanggar SOP dijalankan, termasuk ibadah korban.

“Tiada perlanggaran SOP di masjid, surau, perkuburan atau kunjungan rumah ke rumah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata untuk perlanggaran SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), terdapat 12 kompaun dikeluarkan.

Menjelas lanjut, Aidi berkata dua kompaun dikeluarkan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri ke atas dua individu kerana membuka premis melebihi masa yang dibenarkan.

Selain itu, katanya dua kompaun dikeluarkan oleh IPD Bintulu atas kesalahan gagal mengimbas MySejahtera atau mendaftar dalam buku yang disediakan sebelum memasuki premis.

Manakala, beliau berkata lapan kompaun dikeluarkan oleh IPD Kuching iaitu melibatkan enam individu atas kesalahan keluar dari kawasan yang diisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) tanpa kebenaran.

Aidi menambah dua individu lagi dikompaun kerana tidak mengamalkan penjarakan fizikal dan tidak memakai pelitup muka.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak