Tiga kali bistro diserbu gagal patuhi SOP, polis cadang PBT batalkan lesen

KUCHING: Sebuah premis bistro di Jalan Song sekali lagi didapati beroperasi tanpa kebenaran serta gagal mematuhi Prosuder Operasi Standard (SOP) sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dijalankan.

Bistro bukan termasuk dalam perkhidmatan perlu tersebut diserbu untuk kali yang ketiga oleh pasukan pemantau Khas Covid-19 Kuching kira-kira jam 10.30 malam, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata seramai sembilan individu termasuk pemilik dan pelanggan berumur lingkungan 19 hingga 32 tahun didapati masih berada di dalam premis ketika serbuan.

“Kesemua pelanggan masing-masing dikenakan kompaun sebanyak RM2,0000 manakala pemilik premis dikompaun RM10,000.

“Semakan rekod polis mendapati premis tersebut sebelum ini pernah dikompaun sebanyak dua kali iaitu pada bulan Ogos 2020 dan Mac tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tegasnya pihak polis akan mencadangkan agar pihak berkuasa tempatan (PBT) membatalkan lesen premis berkenaan berikutan berterusan ingkar arahan peraturan Akta 342.

Sementara itu dedahnya, sebanyak dua premis dan 31 individu telah dikenakan kompaun semenjak Op Patuh dijalankan di sekitar Kuching.

Setakat ini katanya, jumlah kompaun yang telah dikeluarkan dalam Op Patuh adalah sebanyak RM64,000.

Suara Sarawak