Tiga lelaki, seorang wanita dicekup lalok

PADAWAN: Tiga lelaki dan seorang wanita ditangkap sedang lalok di dalam sebuah bilik sewa di Matang Jaya, di sini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Padawan Deputi Superintendan Lim Jaw Shyong berkata kesemua suspek dicekup kira-kira jam 12.50 malam tadi oleh pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Padawan.

“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas bilik tersebut menjumpai dua paket plastik mengandungi dadah jenis syabu dengan salah satunya dijumpai di atas bumbung luar tingkap,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata dadah yang dirampas itu dianggarkan seberat 6.01 gram bernilai RM500.

Jaw Shyong menambah kesemua suspek juga didapati positif Amphetamine, Methamphetamine dan Benzo, serta mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

Katanya ketiga-tiga suspek lelaki yang berusia 35, 32 dan 28 tahun kini ditahan di lokap Balai Polis Siburan manakala suspek wanita yang berusia 23 tahun ditahan di lokap Balai Polis Beratok.

Beliau berkata kesemua suspek direman sehingga 26 Julai ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 195.

Suara Sarawak