Tingkatkan kawalan kendiri agar PKPD di Kampung Tematu tidak akan dilanjutkan

KUCHING: Penduduk di Kampung Tematu dinasihatkan untuk terus mengamalkan kawalan kendiri sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Adun Batu Kitang, Lo Khere Chiang berkata, dengan berbuat sedemikian, PKPD di Kampung Tematu tidak akan dilanjutkan dan akan berakhir dalam tempoh tujuh hari lagi.

“Ujian saringan pertama dijalankan telah mengesan lima kes positif Covid-19 dan dua kes positif dilaporkan pada kelmarin.

“Di kampung ini mempunyai seramai 189 keluarga dan hanya ada tujuh kes positif setakat ini. Saya yakin ia tidak mendatang masalah besar dan kita akan selamat,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan agihan bantuan makanan kepada Kampung Tematu, di sini hari ini.

Sebanyak 190 ayam segar disumbangkan oleh Pasukan Bantuan Bencana Persekutuan Pesatuan Cina Sarawak, kepada Ketua Kaum Tematu, Geofrey Tahang.

Khere Chiang mengulas lanjut, seramai 189 keluarga di Kampung Tematu telah menerima bantuan makanan sejak hari pertama PKPD dilaksanakan.

Katanya, selain bantuan makanan dari kerajaan, penduduk kampung juga menerima sumbangan dari orang ramai di sekitar bandar raya ini.

Suara Sarawak