Tuai Rumah Sigi dikompaun

KUCHING: Tuai Rumah di Rumah Panjang Sigi, Sungai Sentubu, Sarikei dikompaun hari ini, atas kesalahan membenarkan sambutan Hari Gawai di rumah panjang tersebut dengan kehadiran tetamu yang ramai tanpa mengamalkan penjarakan fizikal.

Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), kompaun sebanyak RM4,000 itu dikeluarkan oleh Pejabat Kesihatan Bahagian Sarikei.

Selain itu, JPBN berkata Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) mengeluarkan sebanyak 67 kompaun iaitu 53 kompaun individu dan 14 kompaun perbadanan  atas pelbagai kesalahan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) di bawah Akta 342 dalam tempoh 27 Jun sehingga 3 Julai lalu.

Jelasnya, kumulatif kompaun yang dikeluarkan oleh JPBN bermula 11 Mac ialah sebanyak 303 kompaun.

“Antara kesalahan yang dikompaun adalah enggan menjalani perintah kuarantin di bawah Seksyen 14 (2), aktiviti pusat hiburan (3), tidak mematuhi arahan kawalan pergerakan (9) dan aktiviti yang menyukarkan penjarakan fizikal (2), individu gagal memakai pelitup muka (3), individu gagal mendaftar masuk premis (2) dan lain-lain kesalahan SOP yang tidak tersenarai (Individu) (32).

“Kesalahan turut melibatkan pemilik premis gagal melaksanakan penjarakan fizikal (1), pemilik premis gagal menyediakan kod QR MySejahtera dan buku pendaftaran masuk premis (4), majikan gagal memastikan kapasiti kehadiran pekerja (4) serta lain-lain kesalahan SOP yang tidak tersenarai (Perbadanan),” katanya dalam satu kenyataan.

Suara Sarawak