UiTM, Unimas sedia terima pelajar baharu

KUCHING: Lebih 4,000 pelajar baharu dijangka mendaftar dalam pelbagai peringkat pengajian sepenuh masa di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Sarawak.

Timbalan Pendaftar Kanan UiTM Cawangan Sarawak Umaira Othman Koya berkata, kesemua pelajar tersebut akan ditempatkan di UiTM Kampus Samarahan, UiTM Kampus Samarahan 2 dan UiTM Kampus Mukah.

“Dianggarkan sejumlah 380 pelajar akan mendaftar bagi pengajian di peringkat pradiploma, manakala 2,920 pelajar di peringkat diploma. “Sementara 810 pelajar lagi melanjutkan pengajian di peringkat sarjana muda dan mereka akan mula mendaftar sehingga Oktober ini bagi sesi kemasukan pertama 2021,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak, semalam.

Mengulas lanjut, katanya pendaftaran pelajar baharu dilaksanakan secara dalam talian bertepatan dengan arahan yang dikeluarkan oleh Majlis Eksekutif Universiti (MEU) pada 1 Mei 2020. “Pendaftaran ini akan menggunakan platform UiTM Student Portal, manakala penyediaan kad pelajar secara maya adalah menggunakan platform iStudent Mobile Apps.

“Bukan sahaja pendaftaran, malah sesi suai kenal dan pengenalan kepada pembelajaran secara Open Distance Learning (ODL) untuk semua pelajar baharu yang dikenali dengan nama Minggu Destini Siswa dan edu5.0@UiTM juga dilaksanakan secara langsung di Facebook Channel UiTM Cawangan Sarawak,” jelasnya.

Tambahnya, UiTM Cawangan Sarawak turut menyambut baik arahan Kementerian Pengajian Tinggi bagi pelaksanaan pembelajaran secara ODL kepada semua pelajar baharu sesi 2021/2022. “Model pembelajaran baharu yang memberi tumpuan kepada penggunaan teknologi itu turut meminta para pensyarah untuk lebih kreatif dalam membuat persediaan kaedah pengajaran serta meningkatkan kemahiran berinteraksi dengan pelajar secara dalam talian.

“Manakala bagi pelajar yang menghadapi masalah capaian Internet terutamanya yang tinggal di kawasan pedalaman, mereka dibenarkan untuk hadir secara fizikal dan ditempatkan di kolej kampus. Sementara itu, Pusat Pengajian Prauniversiti (PPPU) Unimas sedang giat membuat persiapan untuk kemasukan baharu sekitar 1,000 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ke program asasi yang ditawarkan.

Naib Canselor Unimas Profesor Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi berkata, ia merangkumi segala proses dan aktiviti bagi Majlis Aluan Pelajar dan Majlis Ikrar Pelajar yang akan diadakan dalam talian pada 4 hingga 6 Ogos depan. “Bagi persediaan pengambilan pelajar baharu, perancangan dan penyelarasan telah dilakukan bersama pusat yang bertanggungjawab dan terlibat dalam penyediaan perkhidmatan di universiti ini.

“Penyelarasan ini penting bagi memastikan pendaftaran dan pergerakan masuk pelajar supay mematuhi SOP yang telah ditetapkan,” katanya ketika dihubungi. Katanya, ia termasuk Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Pusat Khidmat Pelajar yang membuat persediaan berkaitan kolej kediaman dan keperluan asas pelajar.

“Begitu juga Pusat Kesihatan Unimas, Bahagian Keselamatan, Pusat Pembangunan Khidmat dan Teknologi Maklumat dan Bahagian Pembangunan serta Pengangkutan yang sedang giat membuat persiapan masingmasing. “Pendaftaran kemasukan akan diadakan secara dalam talian sepenuhnya,” ujarnya.

Suara Sarawak