Urusan harian di hujung jari

ZAMAN beralih musim berubah, kini dunia amat bergantung kepada teknologi maklumat dan komunikasi. Malah sejak penularan pandemik Covid-19, dunia semakin bergantung kepada teknologi moden dan digital khususnya dari segi sosial, ekonomi, pendidikan dan lain-lain.

Kini, kita banyak bergantung kepada teknologi digital di hujung jari untuk memperoleh maklumat secara pantas dan melaksanakan sesuatu urusan dengan lebih cepat. Dengan perkembangan terbaharu, lebih ramai memilih memanfaatkan penggunaan e-dompet iaitu transaksi tanpa tunai.

Di Malaysia contohnya, terdapat beberapa aplikasi e-dompet yang berwibawa, popular serta kerap digunakan masyarakat seperti GrabPay, Touch ‘n Go eWallet, Boost, FavePay dan sebagainya. Sementara di Sarawak, Kerajaan Negeri melalui Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) telah menubuhkan aplikasi e-dompet iaitu Sarawak Pay sejak November 2017.

Ia bertujuan untuk memacukan ekonomi negeri ini melalui inisiatif ekonomi digital, serta menggalakkan penggunaan pembayaran tanpa tunai. Aplikasi yang dilesenkan oleh Bank Negara Malaysia dan berfungsi sebagai dompet digital tersebut menawarkan teknologi untuk mengurus proses perniagaan dan pembayaran digital yang selamat, cepat dan mudah.

Antara perkhidmatan yang dinikmati oleh pengguna termasuk menyimpan wang tunai secara digital, menambah nilai melalui perbankan dalam talian, memindahkan dana, membayar bil utiliti dan banyak lagi.

Aplikasi tersebut semakin popular dan digunakan kebanyakan rakyat negeri ini kerana turut mempunyai ganjaran tunai daripada setiap transaksi pembayaran. Pengurus Besar SMA Dr Zaidi Razak berkata, sejak penularan pandemik dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu, e-dompet tersebut menyaksikan hampir 100 peratus peningkatan dalam pendaftaran pengguna baharu.

Pendaftaran perniagaan baharu meningkat sebanyak 52 peratus, ini menyaksikan hampir setiap pasar raya, kedai, kiosk, gerai tepi jalan, pasar malam, pasar tamu, malah penjual pisang goreng turut memanfaatkan Sarawak Pay sebagai kaedah pembayaran yang lebih selamat.

Perkembangan tersebut membuktikan visi dasar ekonomi digital Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg itu berjaya membawa negeri ini selangkah mendahului negeri-negeri lain di Malaysia. Malah negara kita sendiri belum mewujudkan aplikasi e-dompet milik kerajaan.

Perkhidmatan seperti ini juga memberi kelebihan kepada pengguna dan peniaga dari luar bandar dan bandar untuk mengambil bahagian dalam penggunaan pembayaran digital, dengan meningkatkan daya saing mereka untuk menjadi sebahagian daripada ekonomi digital dunia.

Kini, Sarawak Pay boleh digunakan untuk transaksi pembayaran antarabangsa susulan pelancaran kad maya UnionPay yang membolehkan e-dompet tersebut digunakan untuk membuat pembayaran di luar negara, dan di mana-mana sahaja kod QR UnionPay diterima.

Menurut Abang Johari, penggunaan UnionPay yang dihubungkan dengan SarawakPay akan memudahkan rakyat Malaysia yang berada di luar negara untuk melakukan transaksi pembelian kerana tidak perlu membawa wang tunai yang banyak ketika berada di negara asing.

Jadi, jika anda belum menggunakan Sarawak Pay, anda boleh memuat turun di Google Play atau App Store dan sokonglah teknologi tempatan dengan beralih kepada penggunaan e-dompet. Tidak perlu risau kerana aplikasi ini mempunyai banyak manfaat seperti terdapat pelbagai diskaun, rebat tunai, tawaran, baucar sekali gus menjimatkan wang anda.

Malah ia lebih selamat terutama dalam tempoh pandemik ini yang memerlukan kurang sentuhan fizikal dan sentiasa menjaga jarak. Maka ia dapat mengelak daripada dijangkiti wabak melalui pertukaran wang.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak