Vaksinasi untuk gelandangan di Sarawak bermula 8 Ogos

KUCHING: Program Operasi Vaksinasi Gelandangan akan dilaksanakan di sembilan bahagian di Sarawak bermula 8 Ogos ini.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, ia dilaksanakan bagi memastikan tiada golongan tercicir daripada menerima vaksin termasuk gelandangan yang bukan di dalam mana-mana institusi.

“Justeru, operasi akan dilaksanakan di bawah kementerian dengan kerjasama bersepadu antara agensi melibatkan Pejabat Residen, Pejabat Kesihatan Bahagian, Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian, PDRM, Jabatan Imigresen dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya semasa menghadiri Program Vaksinasi bertempat di Desa Bina Diri, hari ini.

Sementara itu, beliau turut menyatakan bahawa perancangan untuk pemberian vaksin satu dos adalah pilihan yang terbaik memandangkan keadaan gelandangan yang sering berpindah-randah.

“Sehubungan itu, untuk mengelakkan keciciran daripada menerima dos yang kedua, semua pihak berpandangan suntikan vaksin dos tunggal adalah yang sesuai bagi mereka,” tambahnya.

Tambah Fatimah, sebelum Program Operasi Vaksinasi Gelandangan di Sarawak bermula, pihak kementerian bersama agensi berkaitan akan mengadakan satu Operasi Cerapan Gelandangan bermula 18 Julai hingga 1 Ogos ini.

Suara Sarawak