‘Port’ diserbu, lima penagih dadah ditangkap

BAU: Lima penganggur ditangkap ketika sedang lalok di sebuah pondok terbiar di kawasan tepi sungai di jalan lama Siniawan, di sini yang dijadikan ‘port’ mereka menghisap dadah.

Ketua Polis Daerah Bau Deputi Superintendan Poge Nyaon berkata kesemua lelaki berusia dalam lingkungan 22 hingga 33 tahun itu dicekup dalam serbuan Op Tapis yang dijalankan oleh pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Bau, kira-kira jam 4 petang semalam.

“Melihat kehadiran polis, kesemua suspek cuba melarikan diri namun berjaya ditahan.

“Pemeriksaan ke atas suspek tidak menjumpai sebarang dadah namun ujian air kencing mendapati kesemua mereka positif dadah jenis Methamphetamine.

“Siasatan awal mendapati mereka mendapat bekalan dadah berkenaan lebih awal sebelum berada di pondok terbabit,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menjelas lanjut, Poge berkata pondok terbiar berkenaan didirikan menggunakan kanvas sebagai tempat mereka berehat sambil mengambil dadah.

Katanya kegiatan semua suspek dikesan hasil rondaan dan pemantuan yang dijalankan oleh anggota Bahagaian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Bau di kawasan-kawasan kampung.

“Pasukan serbuan telah memusnahkan pondok berkenaan bagi mengelakkan dijadikan  kawasan rutin tempat budaya melakukan aktiviti penyalahgunaan dadah,” katanya.

Poge berkata kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika disabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 atau hukuman penjara tidak melebihi dua tahun dan diperintahkan menjalani pengawasan tidak melebihi tiga tahun di bawah seksyen 38B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Kesemua suspek ketika ditahan dalam serbuan yang dijalankan oleh pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Bau ke atas ‘port’ mereka di sebuah pondok terbiar di kawasan tepi sungai di jalan lama Siniawan, Bau.

Suara Sarawak