10 program vaksinasi bergerak di bawah MBKS berlangsung bulan ini

KUCHING: Sebanyak 10 program vaksinasi bergerak akan diadakan bulan ini di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) untuk memastikan tiada penduduk di bandar raya ini tercicir dari menerima vaksin.

Datuk Bandar Kuching Selatan, Datuk Wee Hong Seng berkata program vaksinasi bergerak di kawasan MBKS telah mula diadakan sejak minggu lalu.

Menurutnya, program vaksinasi bergerak ini diadakan untuk membantu kerajaan mencapai 80 peratus imuniti kelompok di negeri ini.

“Jika dibandingkan dengan negara dan kawasan lain, kami membawa vaksin kepada orang ramai dan mereka tidak perlu menunggu lama untuk divaksin.

“Dengan usaha dari kalangan doktor, jururawat, pegawai kesihatan, ahli majlis MBKS, penderma, sukarelawan serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang pergi rumah ke rumah, program ini mampu dilakukan,” kata Hong Seng kepada pemberita semasa mengadakan lawatan ke program vaksinasi bergerak di gelanggang bola keranjang Sungai Apong di sini hari ini.

Sehubungan itu beliau berharap penduduk di sekitar Sungai Apong menyokong usaha ini dengan hadir pada program tersebut.

Suara Sarawak