12 Pati diusir pulang termasuk kanak-kanak perempuan 7 tahun.

KUCHING: Kanak-kanak berusia tujuh tujuh antara 12 pendatang asing tanpa izin (Pati) yang diusir keluar setelah cuba masuk ke negeri ini melalui jalan tikus dalam dua kejadian berasingan, semalam.

Jurucakap Sel Perhubungan Raya Markas Satu Divisyen Pertama Infantri Malaysia berkata, pengusiran pertama berlaku pada jam 2.00 petang semasa anggota yang sedang melaksanakan serang hendap mengesan tiga individu lelaki dipercayai Pati berjalan kaki memasuki sempadan negara melalui jalan tikus sekitar Kampung Stass, Serikin Bau.

“Setelah ditahan dan soal siasat, kesemua mereka yang berusia antara 20 hingga 35 tahun tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah dan memasuki Malaysia kerana ingin mencari kerja.

“Manakala pengusiran kedua pula berlaku di Biawak, Lundu pada 4.45 petang melibatkan sembilan individu dipercayai Pati dikesan cuba memasuki Malaysia dari arah Indonesia melalui jalan tikus.

“Setelah ditahan dan disoal siasat, sembilan Pati terdiri daripada enam lelaki dan tiga wanita termasuk seorang kanak-kanak perempuan tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tegasnya, kesemua Pati telah diusir dan dilapor ke Balai Polis Bau dan Lundu.

Tiga Pati yang ditahan pasukan keselamatan ketika cuba memasuki negeri ini melalui jalan tikus di sekitar Kampung Stass, Bau.

Suara Sarawak