1,382 kompaun dikeluarkan IPD Kuching pada PKP 3.0

KUCHING: Sejumlah 1,382 kompaun dikeluarkan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching atas pelbagai kesalahan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ashmon Bajah berkata, sejumlah RM 3.6 juta nilai kompaun dikeluarkan dalam tempoh 1 Julai hingga 27 Ogos.

Menurutnya antara kesalahan paling banyak adalah keluar melebihi had waktu dengan 383 kompaun, diikuti dengan 279 kompaun atas kesalahan tiada penjarakan fizikal.

“Polis turut mengeluarkan sebanyak 173 kompaun kerana tidak memakai pelitup muka dan 136 kompaun atas kesalahan kenderaan melebihi kapasiti.

“Selain itu, sebanyak 129 kompaun dikeluarkan kerana gagal mendaftar MySejahtera serta 79 kompaun atas kesalahan aktiviti di tempat awam,” katanya.

Ashmon turut berkata, sebanyak 58 kompaun dikeluarkan bagi kesalahan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) PKP Diperketatkan (PKPD) iaitu premis beroperasi tanpa kebenaran dan rentas daerah tanpa permit.

“Manakala, sebanyak 22 kompaun dikeluarkan atas kesalahan mengunjungi premis beroperasi tanpa kebenaran,” ujarnya.

Suara Sarawak